suria

Dua Exco Beri Penjelasan Tidak Hadir Sidang DUN P.Pinang

GEORGE TOWN: Dua exco kerajaan Pulau Pinang pada Jumaat menjelaskan mereka tidak menghadiri sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Mei lepas kerana terbabit dalam lawatan kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malek Abdul Kassim serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin membuat penjelasan itu dalam sidang berita di sini.

Abdul Malek berkata beliau bersama Afif menghadiri Persidangan dan Ekspo Halal Antarabangsa Pakistan dari 22 hingga 24 Mei lepas dan lawatan kerja itu telah mendapat kelulusan mesyuarat exco.

"Saya bersama Dr Afif menerima teguran Ketua Menteri (Lim Guan Eng) dan rakan-rakan DUN berhubung ketidakhadiran kami dengan hati terbuka dan akan memastikan perkara itu tidak berulang lagi," katanya.

Beliau berkata jawapan dan ucapan penggulungan yang disediakannya telah dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Chong Eng kecuali penjelasan berkenaan hal ehwal agama diberikan secara bertulis kepada anggota dewan.

Dr Afif pula berkata jawapan penggulungannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo dan teks itu telah disiapkan lebih awal untuk diserahkan kepada anggota dewan untuk diperhalusi.

"Tidak timbul isu lari daripada tanggungjawab. Kami bukan pergi bercuti. Selain hadir dalam persidangan, kami juga perlu memenuhi tanggungjawab sebagai exco," katanya.

Beliau berkata dua perjanjian persefahaman telah berjaya ditandatangani antara Industri Halal Pulau Pinang dengan syarikat antarabangsa pada persidangan itu.

Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan dan Perhubungan Masyarakat Datuk Abdul Rashid Hasnon turut tidak hadir pada hari penggulungan sidang DUN itu.

Pada sidang DUN 22 Mei lepas, Speaker Datuk Law Choo Kiang memberi amaran kepada tiga Exco terbabit dan tindakan mereka dianggap sebagai satu penghinaan kepada dewan. 

Lim kemudian berkata beliau terlepas pandang mengenai kelulusan yang diberikan kepada tiga Exco berkenaan untuk ke luar negeri semasa persidangan DUN.

Artikel Lain