suria

PRK Teluk Intan Mengundi Awal Hari ini

Sebahagian anggota polis yang juga pengundi awal berdaftar untuk PRK Teluk Intan menunaikan tanggungjawab di IPD Hilir Perak, Selasa.
TELUK INTAN: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Selasa melibatkan seramai 410 pengundi berdaftar diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini.

Pusat pengundian mula dibuka seawal pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang nanti.

Tinjauan mStar Online di IPD berkenaan menyaksikan Ketua Balai Polis Ulu Bernam, Sarjan Mejar Samsudin Mat Yusof, 54, sebagai pengundi pertama menunaikan tanggungjawab sebaik sahaja pusat pengundian itu dibuka.

Kelihatan polis trafik mengawal lalu lintas menuju ke tempat pengundian awal untuk memastikan keadaan terkawal.

Beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ejen calon turut kelihatan di pekarangan balai polis ini.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dan kira-kira 10 minit kemudian, calon BN pula tiba untuk tujuan sama.

Sementara itu, Dyana Sofya tiba di pusat pengundian awal pada pukul 9.30 pagi untuk bertemu dengan pengundi yang terdiri daripada anggota polis di kawasan berkenaan.

Kekosongan kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei tahun lalu, Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Hari mengundi PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini.

Artikel Lain