suria

Badan Bebas Siasat Dakwaan Mendapan Tanah KLIA2 - Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin.
SEPANG: Dakwaan mendapan tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan disiasat jururunding bebas yang dilantik iaitu Ikram Premier Consulting dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata jururunding bebas itu akan membuat pemantaun dalam masa terdekat dan akan membentangkan laporan kepada beliau.

"Lebih baik saya dan timbalan saya (Datuk Aziz Kaprawi) tidak pergi ke kawasan itu, nanti ramai yang menuding jari mengatakan 'ada udang di sebalik batu' (untuk melindungi) oleh itu kita lantik jururunding bebas tersebut," katanya dalam sidang media selepas melawat KLIA2 di sini pada Isnin.

Hishammuddin berkata Ikram dan ICAO memang telah dilantik dari awal iaitu April lepas bagi mengkaji dan memberi cadangan penambahbaikan terhadap operasi keselamatan dan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut.

Justeru itu, beliau memberi jaminan tiada risiko keselamatan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak dan pihak Malaysia Aiport Berhad (MAHB) sentiasa bersiap sedia untuk menangani isu tersebut.

Baru-baru ini, laporan media memetik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai berkata MAHB dan Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah mendapan serta takungan air yang didakwa berlaku di landasan dan kawasan tempat letak pesawat di KLIA2.

Sementara itu, jumlah penumpang dikendalikan oleh KLIA2 sejak ia beroperasi pada 2 Mei lepas sudah melebihi 1 juta penumpang.

Purata aliran penumpang dalam sehari adalah kira-kira 60,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain