suria

Kematian Teoh Bukan Kes Bunuh - Pendakwa Raya

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa diberitahu bahawa kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock bukan kes bunuh kerana tiada sebarang unsur jenayah dalam kematiannya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas berhujah bahawa berdasarkan keterangan saksi-saksi semasa inkuiri dijalankan di Mahkamah Koroner, tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian Teoh.

"Oleh itu Hakim Rayuan (Mahkamah Tinggi) tidak terkhilaf apabila bersetuju dengan keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian bukanlah homisid dan keterangan pakar berkenaan "pre-fall injuries" tidak menyokong pencarian homisid," hujahnya dalam rayuan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. 

Beliau berkata berdasarkan keterangan itu juga tidak ada kepastian apakah yang menyebabkan mendiang jatuh ke atas koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Katanya oleh itu keputusan Hakim Rayuan yang mengekalkan keputusan terbuka oleh Mahkamah Koroner adalah tepat dan betul di sisi undang-undang.

Mohamad Abazafree berhujah bahawa jelas daripada keterangan saksi-saksi itu juga tiada sebarang keterangan bahawa kematian Teoh diakibatkan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun sesiapa sahaja.

Mengenai tanda kecederaan pada bahagian leher mendiang, beliau berkata mana-mana pihak tidak pernah mempertikaikan bahawa punca kematian mendiang adalah akibat daripada "multiple injuries due to fall from height" (kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi).

Hujahnya lagi walaupun ada keterangan daripada ahli kimia Dr Seah Lay Hong berkenaan dengan "one other unknown male contributor" (seorang penyumbang lelaki yang tidak diketahui) dikesan pada tali pinggang mendiang, tetapi tiada sebarang keterangan langsung yang mengaitkan bahawa adanya pihak ketiga yang mengakibatkan kematian mendiang.

Beliau berkata berdasarkan keterangan juga tiada sebarang tanda-tanda pergelutan telah berlaku mahupun senjata ditemui di tempat kejadian.

"Oleh itu tiada keterangan yang menunjukkan bahawa mendiang dibunuh atau adanya tekanan mahupun ugutan yang membawa kepada kematian si mati," katanya.

Mohamad Abazafree berkata demikian dalam rayuan dikemukakan oleh Teoh Meng Kee, iaitu abang kepada mendiang terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 5 Jan, 2010 yang memberikan keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri atau dibunuh dan juga tiada pihak ketiga terlibat dalam kematian itu.

Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, tempat terletaknya ibu pejabat SPRM Selangor sebelum ini, pada pagi 16 Julai, 2009.

Selepas Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka itu, Meng Kee memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi keputusan itu disemak semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan itu pada 1 Disember 2011.

Meng Kee memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 2 Februari, 2013 untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pendengaran di hadapan Hakim Mohamad Ariff yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer bersambung esok.

Artikel Lain