suria

Ibu Dyana Sofya Terhimpit - Perkasa

Yammy (kanan), ketika membantu anaknya berkempen.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Syed Hasan Syed Ali berkata tindakan ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud, Yammy Samat mengumumkan keluar dari pertubuhan itu dilakukan setelah beliau berada dalam keadaan terhimpit.

Beliau berkata tindakan memburukkan Perkasa dengan mempersoalkan perjuangan pertubuhan itu juga terpaksa dilakukan demi menjaga hati DAP dan pengundi kaum Cina.

"Yammy sudah terhimpit. Demi menjaga hati DAP dan undi kaum Cina, maka itulah jawapannya.

"Kalau sudah tak setuju dengan perjuangan Perkasa sepatutnya keluar awal-awal lagi. Jangan tunggu anak dapat jadi calon, maka memburukkan Perkasa," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada mStar Online, Selasa.

Menurut Syed Hasan, beliau tidak terkejut dengan tindakan Yammy itu dan menyifatkan pengumumannya itu sebagai tindakan untuk melepaskan diri.

"Mula-mula sembunyi perkara sebenar tapi akhirnya hal sebenar terbongkar.

"Nak hidup...," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata apa yang dilakukan Yammy itu tidak menjadi masalah kepada Perkasa, asalkan Perkasa tidak menjadi 'perkakas' kepada DAP.

"Tak mengapa, yang penting perjuangan Perkasa dirahmati dan mendapat hidayah Allah SWT dan bukan menjadi perkakas DAP," katanya.

Pada Selasa, Yammy mengumumkan keluar dari Perkasa dengan alasan tidak lagi bersetuju dengan pendirian Perkasa yang mengubah haluan dengan mengambil sikap untuk campur tangan dalam hal politik.

Yammy juga berkata tidak lagi aktif dengan Perkasa sejak lebih setahun.
Perkasa, Dyana Sofya, Yammy Samat

Artikel Berikut

Artikel Lain