suria

Warga Emas Maut Terjatuh Telaga

KOTA BAHARU: Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh ke dalam telaga usang sedalam 2.4 meter di belakang rumahnya di Jalan Bayam di sini, Selasa.

Isteri mangsa, Maimun Ahmad, 70, berkata dia sedang menjahit di dalam rumahnya kira-kira jam 9 pagi apabila ternampak suaminya, Che Ismail Che Abdullah, 64, pergi ke bahagian belakang rumah.

"Kemudian saya terdengar seperti orang sedang mengerang sebelum saya ternampak suami berada di dalam telaga itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah pasangan itu di sini.

Maimun berkata dia sempat memegang kedua-dua bahagian tangan Che Ismail yang sedang berpaut di tepi telaga tetapi tidak berjaya mengangkatnya kerana suaminya itu terlalu berat dan di luar keupayaannya.

"Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum pegangan tangan terlepas dan dia tenggelam ke dalam telaga," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Azlan Zainal berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.06 pagi dan sampai ke tempat kejadian tiga minit kemudian.

"Bomba dengan kekuatan lapan anggota berjaya mengeluarkan mangsa dari telaga pada pukul 10.21 pagi. Ketika bomba sampai mangsa tidak kelihatan di permukaan air kerana telah tenggelam dan mangsa sudah tidak bernyawa lagi semasa diangkat," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
telaga, warga emas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain