suria

Hanya Kerana Calon Wanita Melayu, Tak Bermakna DAP Terbaik - Azizah Dun

Azizah (tiga, kanan) menyampaikan sijil pentauliahan pada majlis Pentauliahan Perwani (Kumpulan Jaringan Wanita) Teluk Intan dan Penyerahan Lantikan Pengerusi-pengerusi MPWK Perak di sini, malam Selasa.
TELUK INTAN: Hanya kerana memilih seorang calon muda wanita Melayu, tidak bermakna DAP parti terbaik yang membuka peluang kepada ramai wanita, kata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Azizah Mohd Dun.

Sedangkan, katanya, Umno sudah lama mencalonkan banyak wanita termasuk yang muda dalam pilihan raya lalu.

Ini terbukti apabila Umno mempunyai banyak pemimpin wanita di peringkat negara dan negeri serta dalam Pergerakan Puteri, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan pengerusi Kumpulan Jaringan Wanita (Perwani) Teluk Intan di sini, malam Selasa.

Mengikut statistik pilihan raya umum 2013, Umno menurunkan 42 calon wanita dan 32 daripadanya menang. DAP meletakkan 22 calon wanita.

Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata apa yang penting calon yang diturunkan perlu mempunyai pengalaman dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Ditanya mengenai desakan Veteran Umno supaya ibu kepada calon DAP bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud, iaitu Yammy Samat dilucutkan keanggotaan daripada Umno kerana menyokong parti anaknya bertanding, beliau berkata, diakui tindakan Yammy itu melanggar etika parti.

"Dalam parti, perjuangan kita tidak mengira anggota keluarga atau siapa pun tapi kita kena buat pilihan sama ada parti atau keluarga," katanya.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.


Artikel Lain