suria

Sertai PCM Jika Tidak Puas Hati Dengan DAP

Calon PCM Datuk Huan Cheng Guan (tengah) mendengar masalah-masalah yang dikemukakan oleh penduduk semasa berkempen di kawasan Farlim, Jalan Air Itam, George Town.
GEORGE TOWN: Naib presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan menggesa mana-mana anggota DAP yang tidak berpuas hati dengan parti itu supaya menyertai beliau.

Huan, yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, berkata banyak anggota akar umbi DAP menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap parti itu kerana memilih calon muda.

"Saya harap mereka yang tidak berpuas hati dengan DAP supaya menyokong saya dan mereka mereka dialu-alukan menyertai PCM," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Island Glades di sini, Selasa.

Beliau juga mendakwa kempennya untuk Bukit Gelugor secara diam-diam mendapat banyak sokongan daripada anggota DAP.

Sementara itu, Huan juga bersetuju menyelesaikan masalah keselamatan yang dihadapi penduduk di flet Desa Baiduri dan flet-flet yang lain di Bandar Baru Air Itam yang melahirkan rasa bimbang atas keselamatan mereka kerana kurangnya sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan kehadiran polis.

"Saya akan membantu mereka untuk memasang lebih banyak CCTV di kawasan strategik dan juga meningkatkan kehadiran polis di kawasan itu jika saya menjadi MP (anggota Parlimen) mereka," kata Huan.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Huan menghadapi pertandingan empat penjuru bagi PRK Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.

Beliau akan ditentang calon DAP Ramkarpal Singh Deo dan dua calon Bebas iaitu Abu Backer Sidek Mohammad Zan dan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar.
PCM, DAP, Huan Cheng Guan

Artikel Lain