suria

Ahli Politik Diberi Amaran Tidak Pertikai Tugas Polis

Abdul Rahim Hanafi
GEORGE TOWN: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi pada Selasa memberi amaran kepada ahli politik supaya tidak mempertikai tugas polis dalam menjaga keselamatan awam sepanjang tempoh pilihan raya kecil Bukit Gelugor.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata beliau kesal apabila mengetahui terdapat segelintir ahli politik memburukkan polis dalam ceramah kempen mereka.

"Mereka kata polis pilih kasih dan hanya bekerja untuk parti tertentu. Ini tuduhan tidak berasas. Tanggungjawab polis mengekalkan keamanan, kami ada strategi sendiri, mengapa nak pertikai tugas polis?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Polis Bantuan Pelabuhan-Pelabuhan Malaysia Penggal Kelapan di sini Selasa.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima R.S.N Rayer dalam ceramahnya di Kampung Hijau, Air Itam pada Ahad lepas mengatakan polis bersifat pilih kasih apabila tidak hadir ketika majlis pengebumian mendiang Karpal Singh namun memberi tumpuan khas pada pilihan raya kecil itu.

Abdul Rahim menggesa calon yang bertanding mengamalkan sikap berhemah semasa berkempen dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan berlangsung dalam keadaan aman.

Beliau berkata sempena hari pengundian awal esok, 96 polis dan 48 tentera akan mengundi di empat kawasan iaitu Tabika Kemas Markas Gerakan Marin Wilayah Satu Batu Uban, Balai Polis Air Itam, Balai Polis Bandar Baru, Air Itam dan KD Sri Pinang.

Pilihan raya kecil Bukit Gelugor Ahad ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Abu Backer Sidek dan seorang lagi calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan dan Ramkarpal Singh Deo daripada DAP.

Artikel Lain