suria

Mat Sabu, Tian Chua Bebas Tuduhan Sertai Perhimpuan Haram

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan 40 lagi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan menyertai perhimpunan haram sekitar pusat beli-belah Suria KLCC enam tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh di akhir kes pendakwaan.
 
"Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan serta wang jaminan dikembalikan," katanya.

Selain Mohamad, 60, dan Tian Chua atau Chua Tian Chang, 51, turut dilepas dan dibebaskan ialah anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Badrul Amin Bahron, 53, dan 26 lelaki serta 12 wanita, masing-masing berumur antara 22 tahun hingga 71 tahun.

Mereka ialah Dzulkefly Ahmad, Md Yusof Abdullah, T.Mohan, Khairul Nizad Edinan, Izamuddin Ludin, Solahuddin Al-Ayubi Yahya, Marzuki Abdullah, Fadhil Osman, Mohd Azmir Zambrose, Norazimah Mohamad Nor, Amin Shah Iskandar, Mohammad Zaidi Din, V. Panneerselvam, R. Mohanarani, M. Sukumaran, D. Ganesan, Mohd Nasir Hashim, R. Nera, T. Vijaya, dan M. Saravathy.

Selain itu, turut dilepas dan dibebaskan ialah Muhamad Zaid Mohamed Ibrahim, Y. Kohila, P. Thinamaran, K. Gomathi, Raj Munni Sabu, Nor Aziati Ashary, Mai Suharah Basaruddin, Nashita Md Noor, Siti Fatimah Hidayah Ismail, Mohammad Hidayat Shafie, S. Arutchelvan, P. Sarawanan, Mohd Zamhuri Abu Tahir, Mohd Hatta Md Ramli, Chong Kok Wei, Tan Chee Hoi, Ginie Lim Siew Lin dan Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh didakwa menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang iaitu berkumpul di lima tempat berasingan berhampiran Suria KLCC antara 1.30 tengah hari dan 4.30 petang, 26 Jan 2008.

Kumpulan yang digelar 'Protes' (Gabung Memprotes Kenaikan Harga) itu didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan penjara atau denda atau kedua-duanya.

Mereka juga didakwa mengingkari arahan Mahkamah Majistret, pada 25 Jan 2008, yang melarang perhimpunan itu dan menyebabkan kegusaran kepada orang awam yang berkunjung ke kawasan KLCC dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya.

Sementara itu, mahkamah turut melepas dan membebaskan bekas wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahiid Syed Kamal, 35, daripada menghalang pegawai polis Cif Inspektor Effendi Abdul Rahman menjalankan tugasnya di hadapan stesen LRT Ampang Park, pada 3 petang hari yang sama ketika perhimpunan haram itu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memanggil 43 saksi memberi keterangan manakala kesemua tertuduh diwakili barisan peguam diketuai Roger Chan Weng Keng.


Mat Sabu, Tian Chua

Artikel Berikut

Artikel Lain