suria

Dr Asri Bebas Tuduhan Mengajar Tanpa Tauliah

Dr Mohd Asri (kanan) bersama peguamnya, Kamar Ainiah Kamaruzaman (kiri) ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada Selasa.

GOMBAK: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa melepas dan membebaskan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah pada November 2009.

Hakim Shaiful Azli Jamaluddin ketika membacakan penghakimannya berkata, pihak pendakwa iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gagal membuktikan wujudnya kes terhadap tertuduh.

Mahkamah juga mendapati pendakwaan terhadap Mohd Asri adalah lemah tanpa disokong bukti-bukti lengkap yang boleh disabitkan bersalah kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

"Mahkamah mendapati melalui keterangan saksi, pihak pendakwaan tidak dapat menyatakan dan memastikan apa yang sebenarnya diucapkan oleh tertuduh pada malam kejadian.

"Didapati juga pasukan serbuan pada malam tersebut bertindak terlalu cepat untuk menangkap tertuduh kerana mereka sepatutnya menunggu lebih lama dan membuat penelitian apakah yang sebenarnya dilakukan oleh tertuduh," katanya.

Menerusi penghakimannya juga, Shaiful Azli menolak keterangan saksi apabila mendakwa Mohd Asri sedang mengajar hal-hal berkaitan dengan agama Islam hanya berpandukan hujah bahawa tertuduh berada di hadapan sejumlah orang.

"Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan ini yang tidak disokong dengan sebarang bukti.

"Persoalan bagaimana tertuduh mengajar agama Islam semasa kejadian tidak dapat dijawab dengan jelas," katanya.

Selain itu menerusi keputusannya juga, Shaiful Azli menegur pasukan siasatan dan serbuan agar lebih efisyen dan cermat dalam melaksanakan tugas.

"Serbuan yang tergopoh-gapah menyebabkan keterangan menjadi tidak lengkap dan meninggalkan lompang.

"Lemahnya siasatan boleh dilihat apabila pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan 'ikut keadaan' sedangkan pasukan serbuan yang terlibat adalah ramai. Di mahkamah, keterangan ditimbang bukan dibilang," katanya.

Pada 18 November 2009, Mohd Asri dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) antara jam 8.10 dan 9.45 malam, 1 November 2009 di kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Lain