suria

Surat Layang Amalan Lapuk - SPRM

Suatu ketika dulu surat layang menjadi antara kaedah diminati untuk mengemukakan aduan rasuah.

PUTRAJAYA: Masyarakat lebih berani tampil mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbanding penggunaan surat layang untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Trend itu juga kerana masyarakat kini lebih memahami dan menyedari pentingnya menyalurkan maklumat secara tepat dan sahih untuk memastikan pihak yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu dikenakan tindakan setimpal.

Mengikut statistik SPRM, jumlah surat layang menurun kepada 809 tahun lalu, berbanding 2,864 pada 2012.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, sumber maklumat menerusi surat layang ini semakin berkurangan kerana orang ramai dididik untuk memberanikan diri tampil membuat laporan.


Mustafar

Beliau berkata, ini membuktikan orang ramai peka terhadap gejala rasuah dan mahu menggunakan jalan yang lebih cepat dan tepat untuk melaporkan kepada SPRM.
  
"Mengikut prosedur, maklumat yang diterima melalui surat layang ditapis dengan mengasingkan antara maklumat berunsur rasuah dan sebaliknya dan tentu ia mengambil masa.

"Bagaimanapun dengan pengurangan penerimaan surat layang, didapati maklumat yang diterima secara terus atau bersemuka ini lebih berkualiti terutama kerana sumber maklumat yang jelas sekali gus membolehkan bentuk tindakan susulan diambil," katanya kepada mStar Online.

Mustafar berkata, penurunan jumlah aduan menerusi surat layang lebih ketara apabila suruhanjaya itu mewujudkan Sistem Pengurusan Aduan (CMS) iaitu pusat sehenti yang mengumpul semua maklumat yang diterima SPRM.

"Maklumat itu akan dikumpul dan diuruskan secara berpusat di Bahagian Pengurusan Rekod Dan Teknologi Maklumat (BPRTM) sama ada maklumat pegawai, pengadu datang sendiri atau maklumat melalui medium lain seperti surat, faksimili, telefon, khidmat pesanan ringkat (SMS) atau emeil.

"Semua maklumat ini akan diteliti diklasifikasikan  sama ada maklumat rasuah iaitu maklumat yang berkaitan dengan kesalahan di bawah Akta SPRM," katanya.

CMS mula digunakan pada Sepetember 2012 dapat membantu dari segi komunikasi dengan pengadu apabila melibatkan maklumat yang berasas.

Pusat sehenti ini akan memberi makluman dan nombor rujukan kepada pengadu bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan status aduan menerusi portal.



SPRM, surat layang, CMS

Artikel Berikut

Artikel Lain