suria

PRK Teluk Intan: Peratusan Keluar Undi Dijangka 85 Peratus

TELUK INTAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan boleh mencapai sehingga 85 peratus.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata ini berikutan pilihan raya itu diadakan semasa cuti sekolah.

"Pada pilihan raya umum lepas peratusan yang keluar mengundi adalah 80 peratus," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan PRK Teluk Intan bersama-sama Ketua Jabatan di sini, Jumaat.

Beliau berkata keputusan PRK itu dijangka dapat diumumkan selewat-lewatnya pada pukul 9 malam.

"Walaupun ada tiga saluran mengundi yang memerlukan pengangkutan air iaitu di Ulu Bernam, Sungai Timah dan Batu Enam, ia tidak menjadi masalah kerana kita dibantu pelbagai agensi," katanya.

Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi Tidak Hadir Luar Negara yang layak mengundi pada PRK itu.

Abdul Ghani turut memaklumkan setakat ini tidak ada pihak yang telah membeli borang pencalonan daripada SPR.

Beliau berkata Sekolah Menengah Seri Perak di Jalan Changkat Jong, di sini akan digunakan sebagai pusat penamaan calon manakala penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Jalan Changkat Jong.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada DAP, Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.


Teluk Intan, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Lain