suria

Warga Filipina Dipenjara Sehari Kerana Curi Sotong

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri sotong, udang dan barangan lain seorang kerani warga Filipina dihukum penjara sehari dan didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap MA Carolina Andallon, 40, selepas dia mengaku bersalah mencuri barang-barang itu di Pasaraya Aeon, Kepong, di Sentul di sini pada 4.30 petang, 10 Mei lepas.

Barang-barang itu antaranya sotong panjang, udang harimau Culture, Milo 3 in 1, barang penjagaan muka Clean & Clear Fairness dan juga Joy Dish Washing Liquid yang kesemuanya berjumlah RM176.06.

Dia yang diwakili peguam Vincent Chew Zi Xian didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pengawal keselamatan sedang membuat rondaan di dalam pasar raya itu telah melihat tertuduh sedang memasukkan barangan itu ke dalam beg plastik barangan basah, sebelum ditahan di tempat letak kenderaan terbuka, pasar raya berkenaan.

Sementara itu seorang tukang masak juga dipenjara sehari selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk dua botol arak dan udang daripada sebuah pasar raya, lima hari lepas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Cheong Hong Teck, 49, menjalani hukuman itu, Khamis.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa mencuri antaranya dua botol arak, udang saiz sederhana, dua paket penyepit dan beg plastik yang kesemuanya bernilai RM115.42 di Pasaraya Tesco, Bandar Manjalara, di sini pada 11.30 pagi, 10 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah

Artikel Lain