suria

Imigresen Laksana APSS Sekat Penjenayah Ke Malaysia

Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) dapat mengesan penumpang atau pelawat yang disyaki atau mempunyai rekod jenayah, dengan lebih awal sebelum mereka memasuki negara ini.

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen kini dalam peringkat persediaan bagi melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) dalam waktu terdekat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aloyah Mamat berkata, protokol keselamatan baharu di pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang itu bertujuan untuk menghalang kemasukan penjenayah rakyat asing ke negara ini.

“Pada masa ini, Jabatan Imigresen mengadakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi semakan rekod penumpang.

“Perancangan untuk menggunakan sistem ini dalam peringkat persediaan. Kita akan melaksanakan APSS dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi sebelum ini berkata, sistem berkenaan dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan Jun.

aloyah mamat
Aloyah Mamat.

Aloyah berkata, APSS juga merupakan antara  langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan kejadian dua penumpang menggunakan pasport palsu seperti dalam insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 tidak berulang.

Dalam insiden pada 8 Mac lalu, dua lelaki warga Iran dikenal pasti menggunakan pasport milik warga Austria dan Itali menaiki pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

APSS dapat mengesan penumpang atau pelawat yang disyaki atau mempunyai rekod jenayah, dengan lebih awal sebelum mereka memasuki negara ini.

Sebagai sistem tapisan pertama, Jabatan Imigresen akan dapat memperoleh maklumat tersebut sewaktu penumpang terbabit mendaftar masuk di mana-mana lapangan terbang di seluruh dunia.

Sistem berkenaan pada masa ini dipakai di 18 negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Afrika Selatan, Jepun dan Australia.

Sementara itu, Aloyah berkata, Jabatan Imigresen menyokong mana-mana pihak yang turut membantu dalam mengawal keselamatan negara.

Beliau yang merujuk kepada rancangan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia untuk menggunakan ‘I-Checkit’, sistem pemeriksaan polis antarabangsa (Interpol), berkata ia turut membantu meningkatkan keselamatan perjalanan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, semua pasport penumpang prospektif akan disemak dengan pangkalan data Dokumen Perjalanan Hilang dan Curi (SLTD) Interpol.

“Apabila dilaksanakan lewat bulan ini, projek perintis AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama menyepadukan I-Checkit dengan sistem mereka sendiri semasa fasa daftar masuk dalam keseluruhan rangkaian antarabangsanya.

"Ini membolehkan nombor pasport penumpang disemak dengan pangkalan data SLTD Interpol, yang memuatkan lebih 40 juta rekod dari 167 negara," kata Tony.


Artikel Lain