suria

Premis Buat Sambungan Haram, Syabas Rugi RM156,000

Kontraktor Syabas sedang melakukan operasi pemotongan sambungan haram di Taman Dato Senu, Khamis.

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada Khamis menyerbu sebuah premis dekat Taman Dato Senu, Sentul di sini yang menyediakan perkhidmatan mengendalikan majlis, selepas disyaki membuat sambungan bekalan air secara haram selama dua tahun membabitkan kerugian kepada SYABAS hampir RM156,000.


Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred Dharan berkata siasatan mendapati data akaun pelanggan SYABAS menunjukkan premis yang menyediakan perkhidmatan mengendalikan majlis itu tidak mempunyai meter air sah yang berdaftar dengan SYABAS.

"Jumlah air yang digunakan sepanjang penyambungan haram itu lebih kurang 68,300 meter padu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Syabas bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kira-kira 12.30 tengah hari.

Beliau berkata serbuan dilakukan selepas SYABAS menerima aduan orang ramai yang mengesyaki tentang adanya sambungan secara haram dilakukan.

Priscilla berkata ujian turut mendapati air daripada paip sambungan berkenaan bertukar kepada warna merah jambu, menandakan air yang dicuri adalah air terawat daripada saluran SYABAS.

Sambungan haram itu dibuat ke atas paip utama SYABAS dengan menggunakan paip berukuran 25 milimeter jenis 'High Density Poly Ethylene (HDPE) yang disalur ke kawasan premis untuk kegunaan operasi harian mereka.

Beliau berkata SYABAS turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan selain akan membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air kepada pemilik premis berkenaan kerana membuat sambungan secara haram.

Jika sabit kesalahan, pemilik premis itu boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali katanya.

Dalam perkembangan lain, Priscilla berkata sejak 1 Januari hingga 9 Mei ini sebanyak 1,271 aduan berhubung kes curi air diterima oleh SYABAS melibatkan 2.18 juta milimeter air.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 96 kes telah diklasifikasikan sebagai kes sahih dan kerugian dianggarkan berjumlah RM5 juta," katanya.
Syabas, Priscilla Alfred Dharan

Artikel Lain