suria

SUPP Pecat Wong Soon Koh

Peter Chin
MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memecat pemimpin veteran yang juga pengerusinya di Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh daripada parti berkuatkuasa serta-merta dan menuntut beliau mengosongkan jawatan sebagai Adun Bawang Assan untuk membolehkan oleh pilihan raya kecil dijalankan.

Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin memberitahu The Star pada Khamis bahawa kepimpinan parti itu hari ini memutuskan bahawa Wong terpaksa dipecat dari parti berikutan langkah beliau (Wong) yang mengaku menyertai parti baru, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

SUPP, sebuah parti komponen Barisan Nasional Sarawak adalah parti politik tertua di negeri ini.

Chin berkata, cara Wong yang tiba-tiba mengumumkan beliau menyertai parti baharu itu (kira-kira pukul 5 petang Khamis di Kuching) adalah tidak wajar.

"Datuk Seri Wong Soon Koh tidak menghantar kami sebarang surat peletakan jawatan, namun mengisytiharkan pada sidang akhbar bahawa beliau menyertai Teras.

"Saya baru sahaja menerima berita dari Kuching yang Soon Koh telah mengumumkan di khalayak ramai bahawa beliau menyertai parti baharu Teras, yang merupakan parti yang bukan berada dalam Barisan Nasional.

"Memandangkan keadaan ini, jawatankuasa kerja pusat parti telah membuat keputusan segera yang Soon Koh mesti dipecat dengan serta merta.

"Soon Koh adalah Adun (untuk Bawang Assan), bahagian pilihan raya yang beliau menangi di bawah tiket SUPP.

"SUPP menuntut beliau mengosongkan Dewan Undangan Negeri beliau memandangkan beliau telah keluar dari SUPP dan tidak lagi bersama BN.

"Soon Koh mesti secara terbuka mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Adun untuk membolehkan pilihan raya kecil dilaksanakan di Bawang Assan.

"Itu adalah perkara yang betul untuk beliau lakukan memandangkan beliau telah meletakkan jawatannya dalam SUPP di mana beliau menjadi Adun," kata Chin, yang juga bekas Ahli Parlimen Miri dan bekas Menteri Kabinet.

Ketika ditanya apa yang akan berlaku jika Wong enggan mengosongkan kerusi DUN beliau, Chin berkata SUPP akan terus menuntut supaya beliau berbuat demikian.

Wong, pada satu sidang akhbar di Kuching mengumumkan bahawa beliau menyertai Teras berkuatkuasa serta-merta.


Chin berkata ibu pejabat SUPP di Kuching akan menghantar surat penamatan kepada Soon Koh dan juga memberitahu beliau untuk mengosongkan jawatan sebagai Adun pada Jumaat.

Artikel Berikut

Artikel Lain