suria

Dakwaan Saya Ahli Umno Palsu - Nabi Bux

GEORGE TOWN: Isu keahlian parti politik terus menyelubungi calon Bebas, Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar dan kali ini mendakwa ada pihak tidak bertangggungjawab mendaftarkannya sebagai ahli Umno.

"Keahlian itu palsu. Saya minta orang yang mendakwa saya ahli Umno supaya tunjuk borang yang ditandatangani itu kepada saya.

"Saya nak tengok tandatangan itu sama atau tidak dengan tandatangan sebenar saya. Mungkin mereka sengaja gantikan nama ahli yang meninggal dunia dengan nama saya," katanya.

Mohamed Nabi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau sebenarnya ahli Umno cawangan Kampung Banjar, Batu Caves, Selangor yang tersebar luas di laman sosial.

Beliau tetap menegaskan masih lagi ahli PAS sejak 1998.

"Saya adalah ahli PAS. Sijil keahlian seumur hidup ini dikeluarkan oleh parti. Macam mana mereka (pemimpin PAS) boleh kata saya ahli Umno," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nabi turut melancarkan manifestonya pada PRK itu dengan memfokuskan kesejahteraan rakyat.

Antara yang terkandung dalam manifesto tersebut adalah meneruskan agenda pembangunan khususnya kepada kaum Melayu yang dipinggirkan dan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Bukit Gelugor.

Beliau turut menjamin akan memberi keutamaan kepada penyediaan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada golongan belia.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkannya, Mohamed Nabi berkata, beliau ingin menjemput tiga speaker khas untuk menjelaskan mengenai hukum itu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam majlis yang akan diadakan di Padang Kota Lama dalam tempoh terdekat.

Tiga individu itu adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Harun Din.

"Kehadiran ketiga-tiga individu ini dapat memberi gambaran sebenar mengenai hudud yang ditentang keras DAP. Jika mereka bersetuju barulah tarikh mengenai majlis itu akan ditetapkan," katanya.

Nabi Bux, PRK Bukit Gelugor

Artikel Lain