suria

Ahli Umno Perlu Bersedia Hadapi Kemelut Politik Terengganu - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Ahli Umno, terutama di Terengganu diingatkan supaya sentiasa bersiap-sedia dalam menghadapi apa jua situasi politik yang melanda parti itu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketaatsetiaan ahli-ahli Umno di akar umbi sedang diuji.

"Oleh itu kepentingan parti harus mendahului kepentingan lain-lain," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu bagi mengulas kemelut politik yang tercetus di Terengganu.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, mengisytiharkan keluar parti dan menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas pada awal pagi Selasa bersama ADUN Ajil, Ghazali Taib.

"Jangan biarkan elemen kemusnahan oleh musuh dalam dan luar parti menguasai pertimbangan politik kita," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ahli Umno perlu memastikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan hendaklah menjadi tonggak kepada semua lapisan kepimpinan dan ahli-ahli, demi memperkasakan keutuhan parti.

Berikutan tindakan Ahmad Said bersama Ghazali keluar Umno, kedudukan kerusi Barisan NasionaL (BN) di 32 kerusi DUN Terengganu kini menjadi 16 kerusi (termasuk kerusi Speaker DUN Terengganu) sementara PAS mempunyai 14 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (1) dan dua Bebas.



Artikel Lain