suria

Kempen Ramkarpal Kecoh, Pengundi Tak Puas Hati

GEORGE TOWN: Lawatan calon DAP, Ramkarpal Singh Deo di Jalan Delima, Island Glades, dekat sini dicemari insiden kekecohan apabila seorang wanita warga emas tidak puas hati kerana aduan penduduk di situ tidak diendahkan kerajaan negeri.

Ketika sedang beramah mesra dengan penduduk yang sedang melakukan senaman taici di sini kira-kira pukul 7 pagi, Ramkarpal terkejut dengan tindakan wanita tersebut yang melepaskan kemarahannya di situ.

Menurut wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Soo, 65, dia terpaksa berbuat demikian kerana aduan penduduk berkaitan lampu jalan di kawasan itu tidak mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri.

Jelasnya, lampu jalan yang dimatikan seawal pukul 5 pagi itu bukan saja menyusahkan tetapi menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk.

"Alasan langkah penjimatan elektrik kerajaan negeri hanya menyusahkan penduduk di sini. Terbaharu dua kes kemalangan dilaporkan sejak lampu jalan di kawasan terbabit dimatikan walaupun keadaan masih gelap," katanya.

Ramkarpal akan menerima tentangan daripada tiga pencabarnya iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan, calon bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar dan peguam, Abu Backer Sidek Mohamad Zan pada 25 Mei ini.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Karpal Singh, 74, terbunuh dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak, 17 April lalu.

Artikel Lain