suria

Krisis MAS: Kementerian Sedia Jadi Orang Tengah

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis dalaman antara pihak pengurusan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan kakitangannya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata walaupun MAS merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kementerian hanya akan campur tangan dalam isu pengurusan jika terdapat permintaan daripada pihak berkepentingan.

Jika ada keperluan dan permintaan pihak tertentu supaya kementerian bantu, saya fikir tidak jadi masalah kerana ia membabitkan syarikat penerbangan negara," katanya kepada mStar Online di sini.

Ab Aziz Kaprawi


Mengulas lanjut, Ab Aziz berharap MAS dapat segera berhubung secara langsung dengan kakitangan, termasuk menerusi kesatuan sekerja syarikat bagi menangani sebarang masalah yang timbul.

"Langkah ini bagi mengukuhkan hubungan antara majikan dan kakitangan, sekali gus dapat membantu melancarkan operasi syarikat yang bermasalah.

"Sebaiknya pengurusan MAS secara terbuka memberi penerangan terperinci mengenai kedudukan kewangan dan hala tuju syarikat sebagai langkah untuk menanam semula keyakinan kakitangan terhadap majikan mereka," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai hampir 300 kru kabin MAS membabitkan juruteknik penerbangan, jurutera, juruterbang, pramugara dan pramugari meletak jawatan dalam tempoh dua tahun, Ab Aziz tidak menolak mengenai perkara itu.

"Walaupun perkara ini tidak dimaklumkan kepada kementerian, ia memang boleh berlaku jika dilihat prestasi syarikat akibat kerugian besar yang dialami.

"Jadi, apabila ada kakitangan berpindah atau meletak jawatan, bermakna wujud ketidakpastian atau kurangnya keyakinan mereka terhadap syarikat, selain bimbang kedudukan syarikat boleh menyebabkan masa depan mereka terjejas," katanya.
MAS, Maseu, Ab Aziz Kaprawi

Artikel Lain