suria

Malaysia Minta Kurangkan Ketegangan Isu Laut China Selatan

NAY PYI TAW (MYANMAR): Malaysia menegaskan pentingnya semua pihak yang terlibat dalam isu pertikaian maritim di Laut China Selatan bertindak mengurangkan ketegangan dalam usaha mencari penyelesaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyelesaian itu perlu dicapai melalui kaedah rundingan dalam suasana kondusif.

Semasa bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ke-24 Asean di sini, Najib berkata isu ketegangan di perairan itu telah dibincangkan dengan mendalam oleh semua 10 negara anggota Asean pada sidang kemuncak itu yang berakhir pada Ahad.

"Segala semangat dan prinsip undang-undang antarabangsa adalah asas kepada kita dalam mencari penyelesaian," jelas beliau.

Dalam hal ini, Najib berkata adalah penting bagi semua pihak untuk menterjemahkan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan.

Menurutnya Asean juga akan terus menggesa supaya COC dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.

Sementara itu, Najib berkata para pemimpin Asean juga menzahir simpati kepada Malaysia berikutan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370, pada sesi pleno sidang kemuncak itu.

"Negara-negara Asean juga berjanji untuk terus membantu kita dalam mencari pesawat yang hilang itu, katanya.

Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Tujuh belas hari kemudian, pengumuman dibuat bahawa MH370 dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.


Malaysia, Myanmar

Artikel Lain