suria

Malaysia Alami Musim Kering Pertengahan Mei - Jabatan Meteorologi

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mengalami Monsun Barat Daya bermula pertengahan Mei 2014 dan akan berterusan sehingga awal September tahun ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, secara amnya, Monsun Barat Daya merupakan musim kering bagi Malaysia dan dalam tempoh ini negara akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan.

"Bagaimanapun, hujan masih boleh dijangkakan berlaku pada waktu pagi terutama di kawasan pantai negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh Monsun Barat Daya kali ini, jangkaan hujan adalah kurang daripada paras normal pada bulan Jun untuk semua negeri dan kembali kepada paras normal mulai Julai hingga September kecuali Sarawak.

Sarawak dijangka akan lebih kering daripada normal bagi Jun, Julai dan September manakala Ogos pada paras normal, jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Meteorologi akan memantau rapi situasi ini dan akan mengemas kini maklumat ini dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1MET, laman sesawang dan laman sosial MetMalaysia, kata kenyataan itu.
Monsun Barat Daya

Artikel Sebelum

Artikel Lain