suria

PDI-P Disytihar Pemenang Pemilu Parlimen Indonesia

JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputeri secara rasmi disahkan sebagai pemenang dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen yang diadakan bulan lalu.

Pada pengumuman yang dibuat Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) tengah malam Jumaat, PDI-P meraih 18.95 peratus atau 23.68 juta undi daripada keseluruhan 124.97 juta pemilih berdaftar.

Keputusan rasmi tersebut tidak banyak berbeza dengan kiraan awal yang dilakukan pelbagai badan kaji selidik sejurus selepas pilihan raya tersebut pada 9 April lalu.

Parti Golongan Karyawan (Golkar) yang dipimpin Aburizal Bakrie kekal di kedudukan kedua apabila meraih 14.75 peratus atau 18.43 juta undi.

Parti yang diterajui Prabowo Subianto iaitu Gerakan Indonesia Raya atau Gerindra pula di tempat ketiga dengan memperoleh 11.82 peratus atau 14.76 juta undian.

Parti Demokrat yang dipimpin Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pula berada pada kedudukan keempat setelah meraih 10.19 peratus atau 12.72 juta undi.

Dalam pada itu, daripada 12 parti politik yang bertanding pada pilihan raya itu, dua parti iaitu Parti Bulan Bintang (PBB) serta Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI) gagal memperoleh jumlah undi minimum sebanyak 3.5 peratus untuk membolehkan kedua parti itu mendapat kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau Parlimen Indonesia.

Pada kiraan pusingan pertama Pemilu yang diadakan bulan lalu itu, PBB memperoleh 1.46 peratus manakala PKPI meraih 0.91 peratus undi.

Sementara itu, Pemilu Presiden akan diadakan pada 9 Julai depan.

Berdasarkan keputusan rasmi tersebut, tiada satu pun parti politik yang meraih undi minimum untuk membolehkan mereka menamakan calon presiden masing-masing.

Justeru, parti-parti politik berkenaan perlu membentuk pakatan untuk bertanding dalam Pemilu Presiden tersebut.

Mengikut sistem demokrasi Indonesia, sebuah parti politik perlu meraih sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keseluruhan undi atau minimum 20 peratus daripada 560 kerusi DPR sebelum boleh menamakan calon presiden dan naib presiden.


PDI-P, Pemilu, Megawati Sukarnoputeri, KPU

Artikel Lain