suria

Polis Lepaskan Tembakan, Tahan Suspek Kes Pecah Rumah

Gambar Hiasan

BUTTERWORTH: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu secara melulu dan berbahaya sebelum menahan seorang lelaki disyaki anggota geng pecah rumah di Jalan Bagan Luar, di sini pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, sepasukan anggota polis cegah jenayah yang menjalankan operasi terserempak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah kedai emas di kawasan itu pada pukul 11.30 malam.

"Seorang pegawai kanan polis menghampiri lelaki berusia 25 tahun itu dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasanya, suspek yang berada dalam sebuah kereta jenis Proton Wira warna hitam bertindak memecut laju sebelum kenderaannya merempuh kereta milik anggota polis di situ.

"Berikutan itu, seorang anggota polis melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta lelaki itu bagi menghalang dia terus melarikan diri dan merempuh kereta lain yang berada di tempat kejadian," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata, lelaki itu keluar daripada keretanya dan cuba melarikan diri sebelum ditahan polis selepas berlaku pergelutan dengan suspek yang bertindak agresif itu.

Abdul Rahman berkata hasil pemeriksaan dalam kereta lelaki itu, polis menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan curi kereta antaranya tukul besar, pemotong besi, kuku kambing, gergaji besi serta pemotor wayar kabel.

"Selain itu, pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu lelaki itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaraan palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta positif dadah.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis kini berusaha mengesan beberapa lagi anggota kumpulan lelaki terbabit yang dipercayai aktif melakukan pecah rumah di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lepas.


Artikel Berikut

Artikel Lain