suria

Bas Percuma Antara KLIA2-LCCT-KLIA

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyediakan perkhidmatan bas percuma antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) serta Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, pengendali lapangan terbang itu berkata, perkhidmatan bas itu diadakan setiap 15 hingga 20 minit daripada 1 Mei hingga 15 Mei.

"Bas terbabit boleh dinaiki di lokasi sama untuk perkhidmatan bas di LCCT dan di hab pengangkutan klia2 di tingkat 1," katanya.

MAHB berkata, semua pengangkutan awam ke LCCT dan KLIA akan beroperasi seperti biasa sehingga 9 Mei.

Menurutnya, perpindahan syarikat penerbangan AirAsia ke klia2 sejak semalam menyebabkan peningkatan besar jumlah penumpang dan pergerakan penerbangan di lapangan terbang baharu itu.

"MAHB akan terus bekerjasama rapat dengan semua syarikat penerbangan, terutama AirAsia bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul," katanya.

Pada pagi Jumaat ia telah mengadakan mesyuarat pertama selepas prpindahan dengan pasukan AirAsia bagi membincangkan isu operasi yang dihadapi kedua-dua pihak.

MAHB dan AirAsia kekal fokus untuk menambah baik pengalaman penumpang dan antara proses yang boleh dibaiki, termasuk tempoh penghantaran untuk tuntutan bagasi, pengurusan barisan daftar masuk dan pelepasan keselamatan dan kastam.

Dengan fasa kedua perpindahan AirAsia ke KLIA2 bermula semalam, semua syarikat penerbangan yang sebelum ini beroperasi di LCCT dan KLIA, kini beroperasi sepenuhnya di KLIA2.

KLIA2 kini menempatkan AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia, AirAsia Zest, Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways dan Cebu Pacific Airways.


MAHB, bas percuma, KLIA, KLIA2, LCCT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain