suria

Raja Nazrin Saran Polis Perkenal Forum Rundingan

SELAMA: Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah mencadangkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan konsep 'forum perundingan' melibatkan penyertaan aktif kumpulan elit, profesional dan intelek dalam usaha memelihara ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Baginda bertitah selaras dengan senario masyarakat awam yang semakin cenderung mahu berperanan aktif di dalam negara, maka perkhidmatan polis wajar lebih dimasyarakatkan dengan melibatkan lebih banyak penyertaan mereka.

"Kumpulan elit, profesional dan intelek adalah aset berharga di dalam negara yang sewajarnya dihargai dan boleh menjadi kumpulan pemikir membantu tugas-tugas kepolisan melalui forum perundingan yang diwujudkan di setiap peringkat," titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini, Jumaat.

Titah baginda kumpulan itu adalah 'opinion makers' yang sangat penting, berpengaruh serta bersifat lebih kritis dan kritikan itu boleh disalurkan secara produktif oleh PDRM.

Forum perundingan itu mampu memberi ruang penyertaan aktif kepada kumpulan tersebut mengadakan interaksi minda dan berdialog dalam suasana diskusi meja bulat secara berkala atau semasa tercetusnya sesuatu isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat, titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah PDRM perlu kreatif dan berupaya membaca pemikiran rakyat memandangkan anggota masyarakat hari ini lebih sofistikated, memiliki dan menguasai teknologi komunikasi moden dan sering menuntut amalan demokrasi yang lebih telus dan terbuka serta menuntut kepada penyertaan awam yang lebih tinggi.

Baginda turut berpesan supaya setiap anggota PDRM mengamalkan sifat berhati-hati sebelum mendedahkan sesuatu penemuan kepada umum kerana ada kalanya ia adalah muslihat untuk terus mengesan rangkaian sindiket yang lebih besar atau ia tidak dianggap sub judice kerana faktor undang-undang.

"Keadaan ini meletakkan pasukan berada dalam situasi tidak menguntungkan, untuk mengimbangkan apa yang boleh diumumkan bagi memenuhi tuntutan masyarakat, dengan apa yang patut dirahsiakan kerana kepentingan perisikan dan penyiasatan yang lebih lanjut," titah baginda. 


Artikel Lain