suria

Penuntut PhD Pilih RU Tempatan, Jimat RM2 Bilion

Idris Jusoh.
SERDANG: Sejumlah RM2 bilion dijimatkan apabila 3,897 pelajar yang layak ke luar negara memilih menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) di universiti penyelidikan (RU) dalam negara.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, angka yang direkodkan bagi tempoh 2007 hingga tahun lalu itu membabitkan kos perbelanjaan antara RM500,000 dan RM1 juta seorang.

"Pelajar tersebut layak ke luar negara tetapi memilih untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara dan ini menjimatkan pertukaran mata wang asing ," katanya dalam sidang media semasa melawat 'Disebalik Kejayaan RU' siri kedua di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, Rabu.

Beliau berkata, kewujudan RU juga meningkatkan bilangan profesor di negara ini kepada 2,200 orang, termasuk 1,200 yang bertugas di lima buah RU iaitu UPM, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Idris berkata, sehingga 2012, RU melahirkan 6,975 pelajar graduan PhD, selain menyediakan 182,720 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menjana pendapatan hasil penyelidikan innovasi sebanyak RM1.25 bilion.

Mengenai lima universiti penyelidikan di negara ini, beliau berkata, sebanyak RM1.86 bilion diperuntukan antara 2007 hingga 2011 untuk program di universiti berkenaan, manakala pulangan yang diperoleh sebanyak RM3.608 bilion.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kemerosotan kedudukan universiti tempatan di negara ini tidak menggambarkan pencapaian keseluruhan universiti tersebut.

"Kedudukan ini tidak menggambarkan segalanya, tetapi kita boleh tingkatkan dan perlu realistik.

"Kalau kita terlalu mengejar ranking mungkin kita terlupa kepada pengajaran dan pembelajaran. Saya lihat universiti di Malaysia ini masih terlalu muda‎," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan universiti awam di negara ini gagal mencapai piawaian antarabangsa dalam institusi pengajian tinggi dunia yang berusia kurang 50 tahun.

Misalnya, Universiti Kebangsaan Malaysia hanya berada di tangga ke-98 dalam senarai itu pada 2012.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Bulgiba, berkata geran pendidikan yang diberi kepada pelajar PhD tidak akan disalahgunakan oleh pelajar.

Katanya, perkara itu tidak berlaku disebabkan segala perbelanjaan pelajar dikawal oleh penyelia pendidikan yang juga kakitangan universiti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain