suria

Hudud: Wee Bidas Kit Siang Putar Belit Fakta

Wee (kiri) mempertahankan kenyataan Liow (tengah) berhubung hukum hudud.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong pada Isnin membidas tindakan Lim Kit Siang yang memutar-belitkan pendirian parti itu berkaitan pelaksanaan  hukum hudud yang diperjuangkan PAS.

Ka Siong berkata, penasihat DAP itu sepatutnya meneliti fakta terlebih dahulu sebelum bercerita mengenai pendirian MCA berhubung hukum hudud.

"Saya mengalu-alukan Kit Siang untuk melayari laman web MCA (www.mca.org.my) pada bila-bila masa untuk membaca kenyataan media atau laporan berita mengenai MCA dan membuat penyelidikan sebelum memfitnah kami.

"Malah, Kit Siang sepatutnya membawa laporan berita sebelum membuat sebarang kenyataan supaya beliau tidak ketinggalan apabila media arus perdana dan portal online menyiarkan secara jelas mengenai pendirian MCA," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Ka Siong turut  mempertahankan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menegaskan parti itu hanya menolak hukum hudud dan bukannya bermaksud menolak Islam.

"Dalam ucapan Presiden MCA pada Program 'Teguh Bersama' MCA dalam versi Mandarin dan Bahasa Malaysia, Sabtu lalu, beliau tidak mahu melihat wujudnya dua sistem perundangan yang berlainan dalam satu negara," katanya.

Jelasnya lagi, kebanyakan akhbar melaporkan Tiong Lai sebagai berkata 'tidak' kepada Perdana Menteri mengenai pelaksanaan hukum hudud tetapi Kit Siang hanya mengetepikan fakta itu dan terus memfitnah MCA.

"Ini adalah politik tipikal Kit Siang. Ucapan Presiden parti dalam Bahasa Malaysia turut memberi gambaran jelas pendirian kami terhadap pelaksanaan hukum hudud," katanya.

Justeru, Ka Siong menasihatkan Kit Siang supaya tidak menuding jari sepenuhnya terhadap MCA kerana DAP yang memenangi 38 kerusi Parlimen gagal menyekat rancangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

"Ini adalah perkara memalukan pernah berlaku dalam politik Malaysia," katanya.

Artikel Lain