Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang CBP 2014 - Semasa | mStar

Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang CBP 2014

Ahmad Maslan.
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) 2014, iaitu peruntukan undang-undang bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan serta perkara berkaitan, diluluskan Dewan Negara pada Isnin.

Rang undang-undang itu diluluskan setelah dibahas 31 anggota dewan.

Undang-Undang itu bertujuan memperkemas sistem percukaian untuk menjadi semakin efisien dan menjamin masa depan negara dengan hasil lebih mantap.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata CBP perlu dilaksana kerana kerajaan berpendapat sistem percukaian sedia ada tidak efektif khususnya dalam membantu perkembangan ekonomi negara.

"Kita akui sistem cukai yang ada sekarang ini agak lemah dan kerajaan perlukan satu sistem percukaian baharu yang lebih efektif kepada negara... sebab itu kita perkenalkan CBP.

"Apakah pembangkang membantah pelaksanaan CBP sebab nak teruskan sistem cukai yang lemah ini sedangkan kita telah tawarkan satu sistem percukaian yang lebih efektif, telus yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada cukai petroleum," katanya.

Beliau berkata walaupun pengenalan CBP akan menyebabkan kenaikan 1.8 peratus Indeks Harga Pengguna namun masyarakat tidak perlu bimbang kerana ia bersifat sementara, satu proses biasa bagi mana-mana peralihan kepada sistem cukai yang baharu.

Ahmad berkata sebanyak 689 barang dikategori sebagai barangan yang dikenakan CBP dan daripada jumlah itu, hanya 73 mengalami kenaikan harga, 287 mengalami penurunan harga, 329 kekal manakala 255 sedang disemak.

Beliau berkata bagi mengelak pengguna ditipu peniaga yang mungkin bertindak menaikkan harga barang sesuka hati, kerajaan akan mengeluarkan buku panduan pembeli yang mengandungi 1,000 jenis barang tiga bulan sebelum CBP dilaksana.

Berbeza dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan 1975 (SST), yang merupakan cukai seperingkat, CBP adalah cukai berperingkat dengan pembayaran cukai dibuat dalam pelbagai peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengagihan.

CBP akan diperkenal pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan SST sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad berkata tindakan diambil ke atas 76 individu berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012 iaitu 32 diberi amaran, 41 dikenakan surcaj, dua didenda dan seorang dibuang kerja.

Beliau berkata daripada 121 kes terkumpul, 92 sudah selesai manakala 53 kes didapati tidak melibatkan unsur penyelewangan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran. 

Bagi Laporan Audit Negara siri 1/2013, Ahmad berkata 17 jawatankuasa ditubuh di bawah Jabatan Perkhidamatan Awam bagi memastikan setiap teguran dan mereka yang didapati bersalah diambil tindakan sewajarnya.

Daripada 303 syor yang dinyatakan, 55 teguran perlu diambil tindakan manakala 248 teguran boleh diperbaiki, katanya.

Persidangan dewan bersambung pada Selasa.
CBP , Dewan Negara , Ahmad Maslan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain