suria

Minyak Bersubsidi Bernilai RM50,000 Dirampas

Gambar hiasan.
BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 15,000 liter diesel dan 7,000 liter petrol yang telah dicampur methanol bernilai RM50,000 dirampas dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan minyak haram di Juru di sini, Isnin.

Ketua Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Seberang Perai Tengah Md Nasir Mohamad berkata pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 30-an yang dipercayai pekerja di gudang itu.

"Ketika serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, dua lelaki berkenaan dipercayai sedang menunggu pembeli untuk mengambil bekalan bahan bakar yang dikumpul dalam beberapa tangki di premis berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pihaknya menemui empat unit pam dipercayai diguna untuk memindahkan bahan bakar berkenaan ke dalam dua tangki besar yang setiap satu mampu menampung sehingga 20,000 liter diesel.

"Kami turut menemui 15 tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang dipercayai diguna untuk menyimpan bekalan diesel dibeli daripada anggota sindiket," katanya.

Beliau berkata premis berkenaan pernah diserbu pada Mei tahun lepas atas kesalahan sama.

minyak subsidi, KPDNKK

Artikel Lain