suria

Selangor Tidak Pernah Tolak Projek Langat 2 - Exco

Dr Ahmad Yunus Hairi.
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak pernah menolak usaha kerajaan Persekutuan melaksanakan pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi meningkatkan tahap perkhidmatan bekalan air bersih kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Dr Ahmad Yunus Hairi berkata sebaliknya kerajaan negeri hanya menangguhkan projek tersebut bagi memberikan tumpuan kepada penstrukturan industri perkhidmatan air yang telah dirancangkan sebelum ini.

"Kerajaan negeri turut menafikan kelewatan pelaksanaan Langat 2 antara punca masalah kekurangan bekalan air yang berlaku di negeri ini, sebaliknya masalah ini berpunca daripada faktor cuaca," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Selepas tertangguh sejak sekian lama, pembinaan projek Langat 2 dimulakan selepas kerajaan negeri Selangor memberi kebenaran merancang pada 26 Februari lepas.

Langat 2 mampu membekalkan air terawat sehingga 1,130 juta liter sehari kepada pengguna di Lembah Klang sehingga 2025.

Bagaimanapun Ahmad Yunus berkata Langat 2 bukan penyelesaian sepenuhnya terhadap masalah kekurangan air kerana loji itu kelak hanya mampu membekalkan air kepada sebahagian pengguna sahaja. 

Mengulas perkembangan paras air di empangan Sungai Selangor, beliau berkata setakat ini paras air di empangan itu menunjukkan peningkatan iaitu mencatatkan kadar 40.8 peratus berbanding sebelum ini 40 peratus.

Katanya, hujan yang dijangka berlaku sehingga akhir Mei ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan paras air di empangan tersebut. 

"Selain hujan, kita juga melaksanakan perancangan sebelum ini iaitu menggunakan air kolam yang dipamkan ke empangan Sungai Selangor untuk meningkatkan paras air sungai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain