suria

Warga Emas Maut Akibat Kebakaran Hutan

MARANG: Seorang warga emas ditemui mati dipercayai lemas selepas terperangkap dalam kebakaran di kebun kelapa sawit miliknya, di Kampung Tok Fakir, Merchang, pada Ahad.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, Wan Abdullah Wan Ibrahim, 95, ditemui cucunya, Azmi Damak, 38, dalam keadaan tertiarap di kebun miliknya dan didapati terdapat kesan lecuran di muka, bahu dan kaki.

"Kebiasaannya datuk saya pergi ke kebun pada waktu pagi untuk membersihkan kebunnya dan beliau akan pulang pada waktu tengah hari untuk makan di rumah adik saya," katanya.

Azmi berkata beliau mula mencari datuknya itu di kebun selepas dimaklumkan bahawa datuknya itu tidak pulang ke rumah adiknya untuk makan tengah hari.

Menurut beliau, mangsa mempunyai kesukaran untuk berdiri sekiranya dalam posisi baring kerana sakit tua dan dipercayai mangsa jatuh ketika kebakaran itu menyebabkan beliau tidak dapat melarikan diri.

Sementara itu, Pegawai Gerakan Operasi Bomba Terengganu Ismail Mat Hassan berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada 3.50 petang dan setibanya di lokasi, api yang membakar kebun kelapa sawit seluas 0.4 hektar itu telah dipadamkan orang awam.

"Mereka menggunakan ranting kayu untuk memadamkan kebakaran dan beberapa individu sedang memberikan pertolongan kepada mangsa," katanya.

Ismail berkata hampir 50 peratus anggota badan mangsa terbakar dan disyaki mangsa telah meninggal dunia ketika ditemui oleh cucunya.

Menurut beliau sisa-sisa kebakaran yang masih membara dan berasap berjaya dipadamkan dengan pemerap api.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.


Merchang, Marang

Artikel Lain