suria

Mahkamah Tolak Permohonan Mohamad Salleh Tangguh Prosiding Pecah Amanah

Mohamad Salleh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, untuk menangguhkan prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ilmami Ahmad.

"Setelah menetili hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tidak ada keadaan istimewa untuk membenarkan permohonan ini (penangguhan prosiding)," katanya di sini, Isnin.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen diteruskan dan Isnin depan ditetapkan untuk sebutan bagi menetapkan tarikh bicara.

Pada 8 Jan lepas, Mohamad Salleh memfailkan permohonan penangguhan prosiding itu sementara menunggu rayuan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Sesyen menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan pada 22 November tahun lalu.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung'di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.


 

Artikel Berikut

Artikel Lain