suria

Permohonan Semakan Kehakiman Buku Kristian Guna Kalimah Allah Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sidang Injil Borneo (SIB) untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang pengimportan buku Kristian mengandungi kalimah 'Allah'.

Hakim Datuk Zaleha pada Isnin memutuskan Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah 'Allah' bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian.

Dalam penghakiman beliau, yang dibaca Penolong Kanan Pendaftar N. Arun di dalam kamar, Zaleha berkata mahkamah itu tiada pilihan selain merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Kementerian Dalam Negeri lawan Gereja Roman Katolik berhubung larangan penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mingguannya, 'Herald'.

"Oleh yang demikian, walaupun keputusan itu adalah khusus bagi Herald, semua hakim yang arif berpendapat bahawa kalimah 'Allah' bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan Kristian dan oleh itu, larangan menteri berkenaan tidak bercanggah dengan perlembagaan.

"Selagi keputusan itu terpakai, doktrin 'stare decisis' (duluan), mahkamah ini terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata mahkamah menolak permohonan itu dengan tidak mengenakan sebarang printah berkaitan kos.

Pada 10 Disember 2007, SIB dan Presidennya, Rev Jerry W. A. Dusing alias Jerry W. Patel, memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap KDN dan kerajaan bagi mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007.

Buku berkenaan bagaimanapun dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Jan 2008.

Mereka memohon perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam semua penerbitan dan amalan agama mereka, bukan sahaja di gereja.

Peguam Lim Heng Seng mewakili gereja berkenaan dan Dusing, manakala peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain