suria

Hudud: Kerajaan PAS Kelantan Perlu Bertanggungjawab Sepenuhnya

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan perlu bertanggungjawab jika tindakan membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk melaksanakan hudud di negeri itu menimbulkan kekecohan dan menggugat hubungan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Malahan, pelbagai pihak yang dihubungi mStar Online berpendapat tindakan kerajaan PAS yang seolah-olah terburu-buru tidak akan mencapai matlamat jika rakyat masih tidak jelas mengenai intipati sebenar hukum hudud, terutama bukan Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan, berkata penjelasan terperinci berhubung hudud penting untuk mengelak salah faham.

"Jangan tergopoh-gopoh, kerajaan Kelantan perlu ambil tanggungjawab memberi penjelasan sepenuhnya bagi mengelak rakyat terutama bukan Islam tidak rasa terjejas.

"Persepsi yang salah menyebabkan banyak pihak membantah pelaksanaan hudud kerana mereka tidak faham apa hudud sebenarnya.

"Jadi dalam situasi seperti ini, sepatutnya kerajaan Kelantan beri penjelasan dahulu, bukannya bertindak membentangkan perundangan itu kerana ia boleh memburukkan keadaan," katanya di sini, Isnin.

Setakat ini, pelbagai parti politik dari komponen Barisan Nasional dan pembangkang tampil menyatakan bantahan terhadap rancangan Kelantan itu, termasuk MCA, MIC, Gerakan, DAP dan PKR.

Kerajaan PAS menimbulkan semula isu itu dan mahu membawa usul itu untuk mendapatkan kebenaran bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

Beliau berkata, perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini seharusnya dipupuk bukan di ganggu gugat hanya kerana kurangnya pemahaman atau salah persepsi terhadap sesuatu perkara.

"Jalan terbaik adalah mengadakan perbincangan dan merangka sesi penjelasan yang lengkap di semua peringkat dalam masyarakat sebelum mengambil langkah seterusnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari juga sependapat apabila menganggap kerajaan Kelantan wajar mengambil kira risiko jika meneruskan hasrat untuk membentangkan rang undang-undang itu.

"Tentu sekali kerajaan PAS Kelantan perlu bertanggungjawab jika berlaku kekecohan dalam negara kerana tindakan mereka," katanya.

Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin berpendapat, kerajaan PAS seharusnya memikul tanggungjawab sepenuhnya berhubung isu ini.

"PAS Kelantan perlu menerangkan apakah sebenarnya hudud yang mereka ingin bawa dan jika berlaku kekecohan dalam masyarakat semuanya kerana mereka tidak faham makna sebenar hudud.

"Ditambah pula dengan kenyataan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menakut-nakutkan rakyat, sedangkan hudud bukan hanya jenayah, potong tangan, rejam dan sebagainya," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Irmohizam Ibrahim juga senada apabila menganggap negeri berkenaan seharusnya mempertimbangkan situasi semasa sebelum meneruskan hasrat bagi melaksanakan hudud.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain