suria

Lebih Banyak Kaunter Imigresen Dibuka Di LCCT

LCCT sesak pada Ahad ekoran kekurangan kaunter Imigresen yang dibuka.
SEPANG: Pemeriksaan Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang berjalan lancar pada Isnin selepas lebih banyak kaunter dibuka susulan insiden ramai penumpang terkandas di terminal itu ekoran kekurangan pembukaan kaunter Imigresen.

Tinjauan di lapangan terbang mendapati laporan kerosakan penghawa dingin dan eskalator telah diperbaiki selepas menerima aduan daripada penumpang.

Pegawai bank, Liew Sen Yee, 30, yang tiba dari Singapura atas urusan kerja berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk melepasi sistem pagar automotik (autogate) sebagai tambahan kepada kaunter pemeriksaan Imigresen untuk pemilik pasport Malaysia.

Pereka hiasan dalaman warga Indonesia, Wendy Harianto, 25, turut berkata dia tidak menghadapi sebarang masalah dan hanya mengambil masa selama 15 minit untuk melepasi pintu tersebut.

Warga Korea, Kelly Kwan, 35, berkata dia dan suaminya melepasi kaunter Imigresen, tuntutan bagasi dan kastam dalam masa beberapa minit.

"Hari ini semuanya ok. Kami hanya mengambil masa selama 10 minit untuk keluar. Terdapat lapan kaunter untuk pasport warga asing," katanya ketika ditemui di luar balai ketibaan antarabangsa.

Pegawai tentera, Nur Azmil Saari, 25, berkata semua kemudahan berfungsi dengan baik di balai ketibaan domestik dan dia tidak menghadapi masalah sepanjang penerbangannya dari Kuching.

Pada Ahad, ramai penumpang terkandas di pintu Imigresen kerana hanya kekurangan kaunter beroperasi. 

Malah, keadaan menjadi lebih teruk apabila eskalator dan penghawa dingin dilaporkan gagal berfungsi.

Pengurus Besar Kanan (Operasi) MAHB, Datuk Azmi Murad berkata, Jabatan Imigresen pada Ahad telah mengerahkan lebih ramai pegawai dan masalah itu berjaya di selesaikan dalam tempoh dua jam.
LCCT, Imigresen

Artikel Lain