suria

278 Pengarah Syarikat Dilarang Tinggalkan Negara

KUALA LUMPUR: Seramai 278 pengarah syarikat dilarang meninggalkan negara ini sebelum menyelesaikan tunggakan caruman KWSP pekerja mereka.

Nama mereka sudah dikemukakan kepada Jabatan Imigresen bagi tempoh Januari hingga Mac 2014 bagi memastikan mereka mematuhi Seksyen 39 Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata bagi tempoh sama, seramai 157 majikan yang tidak mencarum didenda sebanyak RM218,650 oleh mahkamah di bawah Seksyen 43(2) akta sama.

Beliau berkata, sebanyak 251 saman sivil dan 775 kes jenayah juga telah difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang tidak membayar caruman bulanan KWSP pekerja mereka.

"KWSP mengingatkan semua majikan supaya melaksanakan tanggungjawab membayar caruman bulanan KWSP pekerja dengan teratur dan tepat pada masanya kerana caruman ini adalah hasil titik peluh pekerja untuk persaraan mereka," kata dalam kenyataan, Isnin.

Beliau berkata, majikan perlu sedar bahawa kegagalan untuk menjelaskan caruman bulanan pekerja merupakan kesalahan serius.

"KWSP sangat prihatin dalam melindungi simpanan persaraan ahli dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan tidak mencarum termasuk melevi harta alih mereka atau memfailkan saman sivil terhadap pengarah syarikat," katanya.

Di bawah Akta KWSP 1991, semua majikan diwajibkan membayar caruman bulanan untuk pekerja mereka sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan.

Antara majikan yang telah didenda oleh mahkamah ialah Kimpack Plastic Industries dari Perak sebanyak RM5,000, diikuti oleh Syac Enterprise dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur RM4,000.

Empat syarikat dari Selangor - Jurukur Putra dan Grand March Sdn Bhd masing-masing telah didenda RM3,800 manakala Intergate Digital Solutions Sdn Bhd dan Caidmark Sdn Bhd masing-masing didenda RM3,500 dan RM2,500.

Menurut KWSP, mahkamah lazimnya membenarkan majikan yang didenda menjelaskan tunggakan caruman melalui ansuran sehingga enam bulan dan KWSP akan mengkreditkan semua tunggakan caruman ke dalam akaun ahli terbabit setelah semua tunggakan dibayar sepenuhnya.

KWSP menggalakkan majikan untuk mengemukakan butiran caruman KWSP melalui e-Caruman, kemudahan atas talian yang disediakan melalui i-Akaun di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my).

Kemudahan ini membolehkan majikan melaksanakan tanggungjawab bulanan KWSP mereka dengan cepat dan lebih mudah.

"KWSP komited untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan persaraan ahli dan mereka turut dinasihat supaya sentiasa menyemak penyata KWSP mereka bagi memastikan bayaran caruman KWSP adalah teratur," kata Nik Affendi, sambil menambah dengan aplikasi mudah alih 'EPF i-Akaun' yang dilancarkan baru-baru ini, ahli kini boleh mengakses simpanan KWSP mereka di mana sahaja.

Sekiranya ahli menemui sebarang keraguan dalam akaun KWSP mereka, penjelasan segera perlu diperoleh daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP.

Laporan terhadap majikan tidak mencarum boleh dibuat di cawangan KWSP berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian, 03-8922 6000 dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang, Isnin hingga Jumaat.

Ahli juga boleh membuat laporan secara atas talian melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my.




Artikel Lain