suria

PKR, DAP Perlu Halang PAS Laksana Hudud - Tiong Lai

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP perlu menghalang rakan sekutu mereka, PAS daripada melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, PKR dan DAP telah membantu PAS dalam pilihan raya umum yang lepas, justeru kedua-dua parti itu dilihat mempunyai kuasa untuk 'menghalang' pelaksanaan hukuman itu.

"Kini PAS bercadang melaksanakan hudud, jadi terserah kepada DAP dan Keadilan (PKR) untuk bercakap dengan mereka (PAS)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dharma Walk 2014-'Strive On With Every Step' anjuran Young Buddhist Association of Malaysia (YBAM) di sini, Ahad.

Liow sekali lagi menegaskan pendirian MCA yang menolak pelaksanaan hukum hudud memandangkan pelaksanaan dua undang-undang jenayah, sivil dan syariah, akan menyebabkan kekeliruan, dan ia bercanggah dengan perlembagaan negara.

Isu pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan kembali hangat menjadi perbincangan umum akhir-akhir ini apabila kerajaan negeri Kelantan, melalui anggota Parlimen parti itu, bercadang membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan Hudud, di Dewan Rakyat Jun ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata pembentangan rang undang-undang Hudud itu adalah bagi mendapatkan kebenaran Parlimen, melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

DAP menentang rang undang-undang itu yang menegaskan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan PAS-DAP-PKR.


PAS, PKR, DAP, Hudud, MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

1M4U Tembusi KPTM

Artikel Lain