suria

1M4U Tembusi KPTM

PETALING JAYA: Program 1Malaysia For Youth (1M4U) yang matlamat untuk menarik minat golongan muda tanahair menyertai aktiviti sukarela kini melebarkan sayap apabila bakal menubuhkan Outreach Centre 1M4U di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) seluruh negara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah 1M4U, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, seramai 21,000 belia KPTM akan didaftarkan pada majlis pra pelancaran pusat berkenaan pada 9 Mei ini.

"Penubuhan 1M4U Outreach Centre yang baharu ini akan membabitkan 10 cawangan KPTM dari seluruh negara.

"Hasil perbincangan dengan pihak KPTM, mereka berminat untuk mengembangkan budaya kesukarelawan di kalangan pelajar melalui 1M4U," katanya kepada mStar Online di sini, Ahad.

Sehingga kini 1M4U membuka Outreach Centre di semua institut pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Selain itu 1M4U turut mempunyai Outreach Centre peringkat antarabangsa di New York, Tokyo dan Jakarta.

Mengulas lanjut Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, sehingga kini 1M4U berjaya mencapai matlamat penubuhannya terutama bagi menanam minat kesukarelawan di kalangan generasi muda berusia bawah 25 yahun.

"Kita menerima sambutan yang sangat baik daripada generasi muda kerana golongan ini melihat 1M4U sebagai platform sukarela yang lebih santai tanpa sebarang protokol.

"Dalam masa yang sama kita berjaya membudayakan amalan sukarela di kalangan orang muda dan meningkatkan perpaduan dalam negara selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya.

iM4U, Irmohizam Ibrahim, KPTM

Artikel Sebelum

Artikel Lain