suria

Hudud PAS Akan Timbulkan Pergeseran Dalam Masyarakat - Gerakan

KUALA LUMPUR: Cadangan PAS untuk melaksanakan hudud bukan sahaja akan meningkatkan pergeseran dalam masyarakat, malah tidak akan membantu negara untuk menikmati masa depan lebih cerah, kata Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Beliau berkata berdasarkan perkara inilah Gerakan perlu berjumpa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membincangkan semua kemungkinan yang akan timbul sekiranya Hudud dilaksanakan.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Gerakan menghormati agama Islam...tapi kami rasa Hudud tidak akan membantu negara, malah akan terus memecahbelahkan negara.

"Oleh kerana saya melihat DAP dan PKR hanya bersuara melalui akhbar, tapi tidak melakukan sebarang usaha, kenapa tidak kami (Gerakan) yang melakukannya secara langsung?

"Kami mahu berjumpa Abdul Hadi dan menyatakan kepada beliau kenapa perkara ini tidak sesuai di negara pelbagai kaum seperti Malaysia," katanya di Menara PGRM di sini, Selasa.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa PAS Kelantan, melalui anggotanya di Parlimen, merancang membentangkan usul rang undang-undang persendirian mengenai hukum Hudud di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan terhadap pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (2) 1993 menjelang Disember.

Bagaimanapun, hasrat PAS itu menerima kritikan hebat, bukan sahaja daripada parti berasaskan bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan dan MCA, tetapi juga daripada rakan rapatnya dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP.

Semalam, Penasihat DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar semua pemimpin dalam Pakatan Rakyat berhenti daripada membuat kenyataan tidak perlu tentang isu itu bagi mengelak orang ramai menganggap wujud perbalahan dalam kalangan parti gabungan itu.

Gerakan menyeru anggota Parlimen dari kedua-dua pihak supaya menolak cadangan itu dan melindungi kesucian Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, pada sidang akhbar sama, Pengerusi Jawatankuasa Antara Agama Gerakan Datuk Goo Hoie Han berkata parti itu menentang cadangan tersebut kerana undang-undang berkenaaan dianggap bertentangan dengan perlembagaan dan boleh menimbulkan konflik.

"Negara ini bersifat pelbagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai budaya. Kenapa hendak perkenalkan undang-undang yang boleh mewujudkan polarisasi di Malaysia?

"Kenapa hendak diubah struktur asas negara ini seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain