suria

Pembinaan Dan Perladangan Penyumbang Kemalangan Maut

KUANTAN: Sektor pembinaan dan perladangan dilaporkan banyak menyebabkan kemalangan maut membabitkan pekerja akibat kelemahan majikan menyediakan keperluan asas mengikut prosedur yang selamat.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang, Ahmad Fauzi Awang berkata masih ada majikan dikesan masih kurang kesedaran dalam menyediakan kemudahan mengikut prosedur yang selamat, penyediaan latihan dan pengetahuan terhadap pekerja masing-masing.

Katanya pada tahun lepas, pihaknya mengesan 16 kes kemalangan maut dari sektor pembinaan dan perladangan manakala bagi kategori hilang upaya kekal sebanyak 20 kes dicatatkan dan 356 kes pula bagi kategori tidak hilang upaya kekal untuk tempoh yang sama membabitkan pelbagai sektor.

"Sehingga Mac ini, enam kes kematian akibat kemalangan semasa bekerja dilaporkan dan daripada jumlah itu tiga kes dari sektor pembinaan, perladangan dua kes dan satu kes dari kilang dilaporkan.

"Jika majikan tidak memberi keutamaan dalam aspek keselamatan di tempat kerja, kemalangan dan musibah boleh menimpa pekerja atau majikan selain itu faktor kecuaian pekerja itu sendiri turut menyumbang kemalangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan dan Keselamatan Bahan Kimia dan Ergonomik di sini, Selasa.

Ahmad Fauzi berkata pada tahun lepas, sebanyak 89,500 kes dikenakan kompaun membabitkan 32 syarikat manakala 75,150 kes telah didakwa membabitkan 20 syarikat akibat kecuaian majikan.

"Pada tahun ini sahaja sebanyak 57,500 kes juga telah dikenakan kompaun membabitkan 15 syarikat sementara sebanyak 81,500 kes membabitkan tujuh syarikat telah didakwa," katanya.

Beliau berkata majikan yang gagal bertanggungjawab sehingga menyebabkan kemalangan pekerjanya boleh dikenakan kompaun mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sekiranya wujud unsur-unsur kecuaian.

JKKP, Pembinaan, Kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain