suria

Lelaki Tukar Pengakuan Selepas Terkejut Dengar Hukuman

GEORGE TOWN: Seorang lelaki menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merompak seorang penjaga pasar raya mini Mac lalu selepas terkejut bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Mohd Nizam Jamal Mohd, 31, didakwa merompak Lim Tek Shun, 37, di Tesco Mini Market, Blok 3B-01-3A, N Park Batu Uban, di sini pada 2.40 petang, 9 Mac lepas.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja am mengaku bersalah sebelum menukar pengakuan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan bahawa dia bakal berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan kerana didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan rompakan adalah jenayah serius yang tidak boleh dijamin dan tertuduh mempunyai risiko untuk mengganggu mangsa.

"Oleh kerana kejadian ini berlaku di sebuah mini market dan tertuduh selalu membeli barang di mini market itu, tertuduh ada risiko untuk mengganggu mangsa. Jadi, saya bantah tertuduh diikat jamin," katanya.

Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin kerana perlu menjaga ibu dan seorang adik, selain dia tidak pernah merompak sebelum ini dan terdesak melakukan kesalahan itu.

Hakim Khairul Anuar Abdul Halim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula kes.

"Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan tertuduh boleh melantik peguam. Mahkamah telah merekodkan rayuan kamu yang mengatakan bahawa kamu terdesak melakukan kesalahan itu...rayuan kamu itu ada tersirat pengakuan," katanya.

Artikel Lain