suria

Jalan Bukit Bintang Di Antara Chulan Square-Menara Worldwide Ditutup

MENDAP... Kelihatan seorang pekerja memeriksa keadaan jalan yang mendap di Jalan Bukit Bintang yang disedari awal pagi Rabu. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebahagian Jalan Bukit Bintang di antara Chulan Square dan Menara Worldwide di sini ditutup kepada semua lalu lintas bermula pada Khamis.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan di sini pada Khamis berkata penutupan itu susulan kerja-kerja pengukuhan tanah yang dijalankan sepanjang malam tadi ekoran mendapan tanah yang dikesan di bawah laluan pejalan kaki di situ pagi Rabu.

"Ketika kerja-kerja pembaikan dijalankan di situ satu mendapan kecil dikesan kira-kira satu meter dari lokasi asal. Kerja-kerja penurapan kemudian dilakukan di situ dan masih berjalan sehingga sekarang," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif untuk ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Amir Mahmood meminta orang ramai agar tidak mempercayai pelbagai khabar angin yang tersebar dan hanya menerima maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut berhubung kejadian.

"Ada pihak yang menyebarkan gambar lubang benam yang kejadiannya bukan di Malaysia. 

"Saya gesa pihak berkenaan agar berhenti daripada menyebarkan berita tidak benar itu," katanya.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman sesawang MRT di www.mymrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my, Twitter@MRTMalaysia atau @MyMRTUnderground, atau Facebook @MRTMalaysia atau menghubungi talian 1800-82-6868.

Artikel Sebelum

Artikel Lain