suria

Paip Pecah Jejas Pelan Catuan Bekalan Air Di PJ Dan Rawang

KUALA LUMPUR: Kejadian paip pecah di Petaling Jaya dan Rawang pada Khamis telah menjejaskan penyaluran air ke kawasan sekitar yang terlibat dalam pelan catuan bekalan air. 

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred dalam satu kenyataan berkata penyaluran semula bekalan air ke kawasan yang terjejas telah dilakukan sebaik sahaja kerosakan dibaiki oleh pihaknya.

"Sementara itu ingin dijelaskan di sini bahawa terdapat kawasan yang tidak tersenarai dalam pelan catuan tetapi terputus bekalan air dan ini adalah disebabkan paip pecah atau lain-lain kerosakan pada sistem agihan air, bukan disebabkan oleh catuan," katanya.

Ekoran terdapat sesetengah pihak yang memberi tekanan kepada Syabas untuk memberhentikan catuan bekalan air, Priscilla berkata keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor dan Syabas hanya berperanan sebagai pengagih bekalan air dan pelaksana pelan catuan.

Katanya Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama, Ketiga dan Keempat sehingga kini masih diteruskan dengan kaedah yang dilaksanakan adalah dua hari memiliki air dan dua hari tiada air.

Priscilla memaklumkan pengaliran air ke rumah pengguna selepas injap bekalan air untuk kawasan yang ada air dibuka mengambil masa yang berbeza-beza kerana pengalirannya dipengaruhi oleh jarak dan topografi kawasan berkenaan. 

Oleh yang demikian, masa menerima bekalan air mungkin berbeza antara satu sama lain dan tanggapan bahawa masa dan jadual pelan catuan bekalan air telah dipinda adalah kurang tepat. 

"Jika bekalan air terputus melebihi dua hari dari tempoh yang dijadualkan, ada kemungkinan terdapat gangguan lain seperti kejadian paip pecah atau kerosakan mana-mana komponen dalam sistem agihan bekalan air di kawasan tersebut," katanya. 

Perincian tentang jadual catuan dan bekalan harian serta lain-lain polisi berkenaan catuan boleh dirujuk di laman web Syabas, www.syabas.com.my.

Dalam masa yang sama, pihak syabas juga sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan pelan catuan secara harian melalui laman sosial Facebook dan Twitternya.
Syabas, pelan catuan, paip pecah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain