suria

Venue Memorial Servis Karpal Singh Ditukar Ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor

KUALA LUMPUR: Venue Memorial Servis untuk Karpal Singh esok telah ditukar dari dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwo di Jalan Loke Yew ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Jalan Maharajalela di sini. 

Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai berkata Kementerian Pendidikan telah menolak permohonan parti itu untuk menggunakan dewan sekolah berkenaan kerana menganggapnya acara politik. 

"Saya sedih venue awal telah ditolak...Mengikut pemahaman saya pegawai berkenaan memberitahu 'guru besar' bahawa acara itu bersifat politik dan tidak boleh diadakan di sekolah," kata Tan. 

"Tetapi acara ini bukan untuk tujuan politik. Dewan itu dibina dengan dana Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG)," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Memorial servis adalah upacara mengingati dan menghormati si mati beberapa hari selepas kematiannya. 

Tan berkata memorial servis Karpal Singh akan bermula pada 8 pagi dan 11 orang dijangka berucap. 

"Mereka termasuk Gobind Singh, Pak Samad, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Datuk Ambiga Sreenevasan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang," katanya. 

Karpal Singh terbunuh bila kereta yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah lori lima tan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung, Perak pada awal pagi 17 April. 

Beliau dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri perbicaraan mahkamah pada pagi hari yang sama. 

Pembantu peribadinya, Michael Cornelius turut terbunuh.

Artikel Lain