suria

Liat Bayar Hutang RM40, Kepala Dihentak Besi

SETIU: Angkara hutang RM40, seorang lelaki cedera di kepala akibat diketuk dengan besi.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 7.30 malam Sabtu ketika mangsa, 38, berjalan sendirian di kawasan Bukit Kecil, Chalok dekat sini.

Beliau berkata mangsa disyaki berhutang dengan suspek sudah lama dan apabila diminta melunaskannya, mangsa tidak berbuat demikian.

"Lalu suspek yang merupakan rakan sekampungnya ambil tindakan sendiri memukul mangsa ketika terserempak di tepi jalan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri pertandingan menembak bersempena Sambutan Hari Polis ke-207 di Lapang Sasar Lembah Bidong di sini.

Ab Rahman berkata susulan kejadian itu, mangsa menerima rawatan di Hospital Setiu sebagai pesakit luar dan membuat laporan di Balai Polis Chalok pada kira-kira 8.30 malam.

Katanya, polis kini mengesan suspek, 41, yang dipercayai melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Ab Rahman berkata seorang lelaki kerugian RM4,000 selepas terpedaya dengan maklumat palsu kononnya Jabatan Kastam ingin menjual komputer riba dan telefon bimbit pada harga murah.

Beliau berkata mangsa, 38, menerima maklumat pukul 10 malam Khamis lepas dan membuat bayaran esoknya pada 12.45 tengah hari ke dalam akaun individu yang memberi maklumat berkenaan.

Katanya, setelah wang itu dimasukkan ke dalam akaun, mangsa cuba menghubungi nombor telefon individu berkenaan namun gagal sehinggalah laporan dibuat di Balai Polis Penarik dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ab Rahman berkata ini merupakan kes ketiga seumpama itu di Setiu dan menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan jualan sedemikian.


Polis, Setiu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain