suria

Piala Dunia: Kajian Dapati Kanak-Kanak, Remaja Mula Berjudi

Piala Dunia merupakan antara peluang untuk perjudian secara haram, terutama di dalam talian. Foto GLENN GUAN
PETALING JAYA: Dengan bahang kehangatan temasya Piala Dunia FIFA 2014 yang akan bermula kurang dua bulan lagi, timbul kebimbangan mengenai jumlah wang yang dipertaruhkan oleh golongan remaja dan kanak-kanak.

Satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Rehab Perjudian (GRC) Malaysia menunjukkan 93% daripada 600 murid sekolah rendah yang diselidik pernah berjudi.

Kebanyakan mereka terpengaruh dengan aktiviti perjudian semasa perhimpunan Tahun Baharu Cina dan semasa majlis perkahwinan ahli keluarga dan saudara mereka.

Perjudian itu disifatkan sebagai "mengisi masa keseronokan" yang turut membantu mereka untuk mendapatkan wang dengan mudah.

Kaji selidik itu, dilakukan di 61 lokasi seluruh negara antara Mac dan Disember tahun lepas, turut mendapati 89% daripada 5,000 pelajar sekolah rendah terlibat dalam perjudian.

Kebanyakan mereka terpengaruh dengan aktiviti perjudian itu dari rakan sebaya malah ibu bapa mereka.

Kajian menunjukkan bahawa 82% daripada mereka mula berjudi bersama ahli keluarga, 45% bersama rakan sebaya, 38% di Internet, 32% di pusat perjudian dan 12% di sekolah.

Pertaruhan itu melibatkan wang taruhan dari RM100 sehingga RM10,000.

Ketua Pegawai Eksekutif GRC, Lee Kim Heng berkata, peminat sukan begitu teruja dengan Piala Dunia, manakala yang lain tidak sabar menunggu nasib bertuah untuk bertaruh dalam keputusan perlawanan.

"Ramai yang seronok untuk berjudi hanya dalam tempoh itu, tetapi ada segelintirnya yang terus ketagih berjudi walaupun temasya berakhir.

"Ia merupakan fenomena yang berulang dengan peningkatan (orang berjudi) dalam tempoh tertentu seperti perlawanan bola sepak atau musim perayaan."

Lee berkata, jumlah pelajar yang terlibat dalam perjudian amat mengejutkan dan ia melibatkan pelajar lelaki dan perempuan.

"Perjudian ini menjadi lebih mudah buat mereka apabila mereka tidak perlu pergi ke kasino atau pusat perjudian.

"Ia begitu mudah didapati di Internet, rangkaian sosial menggunakan komputer, tablet atau telefon pintar.

"Dengan teknologi baharu, seseorang boleh berjudi pada bila-bila masa malah boleh dilakukan di dalam kelas," tambahnya.

Lee berkata, ramai ibu bapa mengetahui anak-anak mereka berjudi dan membenarkan untuk berbuat demikian, terutama semasa Tahun Baharu Cina.

"Adalah tidak baik untuk ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka berjudi. Mereka perlu tahu mengenai bahayanya dan betapa ia boleh mempengaruhi seseorang sehingga terjerat kerana berjudi.

"Apabila seorang kanak-kanak berjudi walaupun dengan satu sen, ia akan mempengaruhi mindanya bahawa ia boleh membantu untuk mendapatkan wang dengan segera," katanya.

Lee berkata, remaja merupakan golongan yang paling terdedah dengan masalah judi, yang merujuk kebanyakan mereka mudah terpengaruh oleh sikap memberontak, tekanan rakan sebaya dan perasaan ingin tahu. 

Beliau berkata, GRC merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang memfokuskan masalah perjudian.

"Adalah lebih baik sekiranya lebih banyak NGO, lebih ramai orang dan lebih banyak pihak berkuasa untuk tampil bersama.

"Ibu bapa dan guru-guru perlu memberi amarah kepada golongan kanak-kanak dan remaja mengenai risiko dan bahaya berjudi," katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain