suria

Juruterbang MH192 Jalankan Tugas Secara Profesional - Hishammuddin

Hishamuddin (kanan) bersama Kapten Nor Adam Azmi ketika sidang media di KLIA berhubung kejadian pesawat MH192 ke Bangalore, India berpatah balik dan membuat pendaratan kecemasan setelah mengalami kerosakan gear pendaratan di Sepang, awal pagi Isnin. Foto BERNAMA

SEPANG: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 melaksanakan tugasnya dengan profesional, memastikan kesemua 166 penumpang dan anak kapal selamat, semasa pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Isnin. 

"Walaupun keletihan, para penumpang sempat meluahkan rasa kagum mereka terhadap kecekapan juruterbang sehingga berjaya mendaratkan pesawat dan kesemua penumpang terselamat. 

"Perkara ini diluahkan mereka semasa saya berjumpa dengan mereka dan mereka amat berterima kasih kepada juruterbang pesawat itu," kata Hishammuddin kepada pemberita di Bangunan Pengurusan Penerbangan KLIA di sini. 

Turut hadir pada sidang media itu ialah juruterbang pesawat itu, Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak, dan sebahagian anak kapal penerbangan berkenaan.

MH192, yang berlepas ke Bangalore, India, dengan membawa 159 penumpang serta tujuh anak kapal, melakukan pendaratan kecemasan selepas pesawat itu mengalami masalah gear pendaratan. 

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 10.09 malam Ahad.

Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi Isnin.

Terdahulu Hishammuddin berjumpa dengan 159 penumpang MH192 di Bangunan Satelit KLIA, di sini, selepas pendaratan kecemasan pesawat itu. 



Artikel Lain