suria

Catuan Air Dijangka Berakhir 30 April

KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat dijangka ditamatkan pada 30 April depan.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred Dharan berkata bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Pelaksanaan pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat masih diteruskan seperti yang dirancang dan diputuskan kerajaan negeri Selangor (sehingga 30 April)," katanya dalam satu kenyataan di sini,m Ahad.

Mengulas mengenai kelewatan penyaluran bekalan air di beberapa kawasan catuan di Hulu Langat pada 19 April lepas, Priscilla berkata ia berikutan kejadian paip pecah yang berlaku di Taman Minang, Kajang.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kawasan catuan di Taman Minang, Kajang Emas dan Kajang Mulia mengalami gangguan bekalan air untuk tempoh beberapa jam.

Sementara itu, catuan bekalan air di sekitar Gombak juga berhadapan dengan kekerapan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju akibat kekeruhan pada air mentah melebihi tahap yang dibenarkan.

"Walaupun ada bekalan air alternatif disalurkan dari pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3, namun jumlah keseluruhan agihan bekalan air berkurangan berikutan tiada sumbangan daripada LRA Wangsa Maju.

"Selain itu, pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Selangor Fasa 3 sedang dikurangkan ekoran pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor seperti diputuskan kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, bagi keperluan kritikal seperti upacara kematian, kegunaan pusat dialisis, rumah perkahwinan atau majlis perkahwinan, pengguna boleh memohon untuk mendapatkan bekalan melalui lori tangki atau tangki air statik daripada Syabas.

Pengguna dinasihatkan untuk tidak menggunakan bekalan air bagi keperluan tidak kritikal seperti mencuci kenderaan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kawasan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang Syabas di www.syabas.com.my.

Syabas, Air Selangor, SPAN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain